Saturday, 10 December 2011

Jenis-jenis Najis dalam Islam dan Cara Menyucikannya

Pengertian Najis
Bahasa: Benda-benda kotor dan jijik.
Istilah: Kotoran yang menyebabkan tidak sah solat sekiranya hadir pada badan, pakaian dan tempat dia mengerjakan solat.

Kejadian Najis
1. Keluar daripada dubur atau qubul dalam keadaan cair atau lembut. (Contoh: Tahi, air kencing, dan air mani anjing/khinzir atau keturunannya)
2. Keluar daripada saluran lain. (Contoh: Air liur basi dan muntah)
3. Benda-benda lain yang telah ditetapkan hukumnya sebagai najis. (Contoh: Darah, nanah, susu daripada binatang yang tidak boleh dimakan, arak, anjing dan semua keturunannya, khinzir dan semua keturunannya, dan semua jenis bangkai kecuali bangkai manusia, ikan dan belalang).

Bahagian-bahagian Najis
A) Najis Mukhaffafah
Najis ringan iaitu air kencing kanak-kanak lelaki berusia di bawah dua tahun yang tidak makan atau minum sesuatu selain daripada susu ibunya (susu yang dicampur dengan gula atau tepung itu hukumnya seperti yang selain dari susu).

B) Najis Mutawassitah
Najis pertengahan yakni selain daripada najis mukhaffafah dan najis mughallazah. Najis mutawassitah terbahagi kepada dua:
  • Najis ainiyyah – najis yang berwujud (tampak dan dapat dilihat) seperti kotoran daripada haiwan.
  • Najis hukmiyyah – najis yang tidak berwujud (tidak tampak dan tidak terlihat) seperti air kencing yang sudah kering.

C) Najis Mughallazah
Najis berat seperti anjing dan babi serta keturunannya dan barang-barang yang diperbuat daripadanya.

D) Najis-najis Lain
Selain daripada tiga jenis najis di atas, terdapat satu najis lagi iaitu “Najis Ma’fu” iaitu najis yang dimaafkan seperti nanah atau darah yang Cuma keluar sedikit, debu atau air kotor yang memercik sedikit dan sukar untuk dihindarkan.

Cara-cara Menyucikan Najis
A) Najis Mukhaffafah
     1. Basuh bahagian yang terkena najis dan kemudian lap.
     2. Percikkan air di tempat yang terkena najis.
     3. Lap dengan kain bersih sehingga kering.
B) Najis Mutawassitah
    1. Buang najis dari tempat yang terkena kotoran.
    2. Basuh tempat yang terkena najis dengan air mutlak.
    3. Pastikan bahagian yang terkena najis tadi hilang bau, warna dan rasa najis tersebut.
C) Najis Mughallazah
     1. Bersihkan bahagian yang terkena najis.
     2. Basuh sebanyak tujuh kali. Sekali daripadanya mesti menggunakan tanah bersih yang dicampur dengan air.
     3. Gunakan air mutlak untuk membuat basuhan seterusnya (sebanyak enam kali) sehingga warna, bau dan rasa najis tersebut hilang. 

Nota tambahan: Merujuk kepada Keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan 2004-2007 Hukum Melakukan Samak terhadap Najis Mughallazah Menggunakan Sabun Tanah Liat adalah dibolehkan (Muzakarah ke 76 pada 21-23 November 2006) ianya seperti yang tercatat dalam teks keputusan berikut:
"Sabun yang mengandungi unsur tanah liat boleh digunakan untuk melakukan samak najis mughallazah dengan syarat tanah tersebut suci dan peratusan kandungan tanah dalam sabun melebihi daripada bahan-bahan yang lain serta kaedah samak tersebut dilakukan mengikut syarak."

1 comment:

  1. Cukup jelas, tapi saya mendengarkan tausiyah dari ustad A. Sukino di radio Majlis Tafsir Alrqur'an (MTA) katanya kotoran binatang itu tidak najis termasukotoran babi. Alasannya didalam Alquran yang najis itu hanya kotoran manusia. Bagaimana niih.?

    ReplyDelete